Masa untuk perdamaian di Aceh - Tanggungjawab utama GAM, Jakarta selepas bencana

     

    MUKADIMAH

    Sejak 1997, Dr. Kamarulzaman Askandar banyak membuat kajian mengenai konflik yang melanda beberapa negara di Asia Tenggara. Konflik wilayah di Mindanao, selatan Thailand dan Aceh adalah teras utama penyelidikan Penyelaras Unit Penyelidikan dan Pendidikan Untuk Perdamaian di Universiti Sains Malaysia (USM) berusia 39 tahun ini.

    Beliau bukan sekadar menyiapkan kajian berdasarkan teori malahan lebih banyak turun padang untuk meninjau dengan mata sendiri suasana perang yang berlarutan sejak sekian lama, sebelum bencana 26 Disember itu.

    Bertentang mata dengan pemimpin kanan Moro dan Gerakan Aceh Merdeka (GAM) - untuk mengumpul fakta, data dan maklumat - bukan luar biasa bagi Kamarulzaman.

    Malah, beliau pernah bertukar-tukar pandangan tentang penyelesaian konflik di Aceh dengan bekas Presiden Indonesia, Abdurrahman Wahid atau Gus Dur - pemimpin yang menurutnya lebih toleransi. Kamarulzaman juga tidak asing bagi kalangan NGO terkenal di wilayah itu termasuk Coalition For Save Aceh, Gabungan NGO Hak Asasi Manusia Aceh dan Achenese Task Force.

    Dalam pertemuan wartawan ZULKIFLEE JALIL dan AHMAD SYAHIR KASSIM dengan beliau di USM, Pulau Pinang baru-baru ini, Kamarulzaman melontarkan pandangan betapa Aceh perlu bangkit semula selepas musnah akibat ombak besar tsunami itu.

    Suatu ketika wawancara selama satu setengah jam itu terhenti hampir lima minit apabila beliau menerima panggilan telefon daripada anggota sebuah NGO di Aceh yang memaklumkan kematian seorang pemimpin kanan GAM, Sofyan Ibrahim Tiba yang terkorban dalam bencana itu.

    ``Sofyan adalah antara hampir 400 anggota GAM yang terkorban ketika ombak tsunami memusnahkan penjara yang menempatkan mereka di Banda Aceh,'' kata Kamarulzaman.

    MINGGUAN: Bagaimana gambaran Aceh dari aspek geopolitik sebelum musnah dilanda ombak besar tsunami?

    KAMARULZAMAN: Sejarah Aceh sejak dari dulu memang sentiasa bergolak. Dari krisis militer, identiti, wilayah sehinggalah ke konflik agama. Wilayah ini dulu diperintah oleh kesultanan dan perasaan memerintah sendiri telah lama tersemat dalam diri orang Aceh untuk menentang penjajah dan pemerintah Jakarta.

    Sejak era sebelum merdeka pada 1947 lagi, orang Aceh menentang penjajahan Belanda. Apabila bermula Perang Dunia Kedua, Aceh diminta menyertai persekutuan Indonesia.

    Presiden Indonesia pertama, Sukarno ketika itu pernah meminta bantuan orang Aceh untuk menentang penjajah. Malah orang Aceh sanggup memberi emas yang dimiliki mereka agar pemerintah dapat membeli kapal terbang dan sebagai balasannya, Sukarno berjanji untuk memberi kemerdekaan kepada Aceh selepas Perang Dunia Kedua. Namun orang Aceh tertipu.

    Konflik di Aceh ini berjalan secara berperingkat. Pertama antara 1953 hingga tahun 60-an di mana Aceh sering dilihat terlibat dalam pemberontakan untuk mewujudkan sebuah negara Islam/Darul Islam diketuai oleh Tunku Daud Bireun.

    Fasa kedua pula bermula dengan penubuhan Gerakan Aceh Merdeka (GAM) pada 1975 diterajui oleh Hasan di Tiro. Hasan merupakan bekas pegawai diplomat Indonesia yang pernah berkhidmat di New York. Beliau yang tidak berpuas hati dengan layanan Jakarta terhadap penduduk Aceh telah menganjurkan kemerdekaan untuk Aceh.

    GAM pada mulanya merupakan kumpulan kecil dianggotai 120 ahli dan pada awalnya tidak mendapat sokongan orang Aceh tetapi lama-kelamaan disebabkan reaksi Jakarta yang keras, maka penduduk tempatan mula bersimpati pada GAM. Pembunuhan dan penderaan tentera Indonesia terhadap orang awam Aceh menguatkan lagi sokongan ini.

    Apa berlaku selepas itu?

    KAMARULZAMAN: Dari situ kita lihat GAM berkembang pesat. Kemudian memasuki fasa 1989 dan pada 1990 pemerintah Indonesia menggerakkan Operasi Benang Merah menerusi pewujudan Daerah Militer yang menyebabkan 10,000 orang Aceh terbunuh.

    Semasa operasi, banyak kekejaman berlaku sehingga menyebabkan orang Aceh lebih marah terhadap pemerintah, sekali gus menyokong GAM. Tahun 1997, 1998 dan 1999 menyaksikan beberapa kekacauan dalam negara, bercambah ekoran tuntutan reformasi dan permohonan bantuan dari Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) menyebabkan (Presiden Indonesia kedua) Suharto digulingkan.

    Ekoran perubahan sistem politik semasa Presiden B.J Habibie menerusi pungutan suara (referendum) yang membawa pembebasan Timor Timur, maka GAM pada 1999 menganjurkan demonstrasi serupa secara besar-besaran disertai sejuta orang, yang ia mendapat liputan seluruh dunia di pekarangan Masjid Baiturrahman, Banda Aceh.

    Di bawah pentadbiran Presiden Abdurrahman Wahid atau Gus Dur pula, beliau membenarkan perbincangan dijalankan antara GAM dan Jakarta yang akhirnya mencetuskan perjanjian yang ditangani di Geneva pada Disember 2002.

    Begitupun ia tidak bertahan lama apabila tahun berikutnya pemerintah mengisytiharkan Emergency Rule (Peraturan Kecemasan) di Aceh dan kemudian statusnya diubah kepada Civil Emergency Rule yang mengerahkan seramai 50,000 lagi Tentera Nasional Indonesia (TNI) ke wilayah itu. Hakikatnya, tiada perubahan dari segi polisi pemerintah di Aceh.

    Apa sebenarnya punca konflik yang sehingga kini menemui jalan buntu?

    KAMARULZAMAN: Ia disebabkan oleh keinginan yang bersarang dalam diri orang Aceh yang mahukan pemerintahan sendiri terutama disebabkan dulu mereka ada kesultanan yang hebat menentang penjajahan Belanda.

    Selain itu faktor ekonomi turut menyumbang kerana Aceh kaya dengan gas dan minyak, namun hampir 90 peratus kekayaan buminya dikaut keluar untuk menampung ekonomi wilayah-wilayah Indonesia yang lain.

    Aceh terus miskin dengan kadar pengangguran yang tinggi serta kemudahan infrastruktur tidak banyak berubah sedangkan ia mempunyai sumber kekayaan hasil bumi. Malah, sistem pemerintahan di wilayah itu ditentukan oleh Jakarta walaupun pentadbirnya orang Aceh. Bagi orang tempatan, mereka yang bekerjasama rapat dengan Jakarta ini tidak mewakili orang Aceh.

    Pada masa sama, terdapat pelanggaran hak asasi yang teruk di Aceh dengan orang awam yang sering disyaki tali barut GAM, diseksa dan dibunuh. Ini menerbitkan rasa simpati mendalam orang awam terhadap GAM.

    Boleh Dr. terangkan sifat orang Aceh?

    KAMARULZAMAN: Dalam keadaan konflik ini, kita lihat orang Aceh melihat aspek identiti mereka sebagai satu objektif untuk mencapai sesuatu (pemerintahan sendiri). Ini kerana identiti orang Aceh berbeza daripada orang Indonesia yang lain termasuk Jakarta yang lebih berteraskan kejawaan.

    Pepatah Aceh ada menyebut orang Aceh ini `keras sikit'. ``Kalau suka dan hormat pada kita, dia sanggup berikan nasi yang terakhir dalam pinggan pada kita. Tetapi kalau dia benci, sekalipun ada gudang beras di belakang rumahnya, dia sanggup pula bakar gudang beras itu daripada berikan sekelumit (beras) pada kita. Mereka kalau percaya, percaya habis; jika ekstrem, ekstrem habis.

    Semangat setia kawan orang Aceh juga begitu kuat sampai sanggup kerahkan pahlawan-pahlawannya membantu kerajaan Melayu Melaka ketika diserang Portugis pada tahun 1511 sehinggakan ada cakap-cakap di Aceh yang mengungkit mengapa orang Melayu negara ini tidak membantu mereka pula ketika mereka dihambat oleh Jakarta.

    Mengapa jalan ke arah perdamaian terus gagal?

    KAMARULZAMAN: Pertama, kehendak untuk mencapai perdamaian begitu kurang di kedua-dua belah pihak. Kedua, political will dari pihak Indonesia begitu diragui apabila menangkap perunding-perunding GAM, jadi macam mana nak berunding. Kali terakhir perunding GAM ini ditangkap pada akhir 2002 ketika mereka hendak ke Tokyo untuk berunding.

    Selain itu, kegagalan peranan pihak ketiga - orang tengah - iaitu sebuah badan bukan kerajaan, Henry Gunnan Centre yang tidak mempunyai mandat yang cukup kerana sebagai fasilitator, ia tidak ada kuasa untuk menekan kedua-dua pihak terutama tentera Indonesia bagi melaksanakan keputusan yang dicapai.

    Pernah juga pasukan pengaman yang disertai Thailand dan Filipina digerakkan ke Aceh, tapi mereka pun tidak ada kuasa yang jelas untuk pastikan gencatan senjata GAM-TNI dipatuhi. Dan sekarang meskipun GAM minta gencatan senjata disebabkan bencana tsunami, namun pemerintah masih kuat kuasakan peraturan sedia ada.

    Selain itu, kegagalan penyelesaian konflik Aceh ini juga disebabkan penglibatan `aktor-aktor' yang berbeza. Walaupun Presiden memainkan peranan penting namun pada masa sama, ia berpecah kepada kelompok Presiden, tentera dan Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR) yang kesemuanya memperlihatkan perbezaan politik.

    Contohnya pada era Megawati Sukarnoputri, beliau cuba mengusahakan perdamaian namun ditekan oleh penolakan tentera yang masih terasa kehilangan Timor Timur. Tentera tidak mahu kali ini Indonesia kehilangan Aceh pula. Tambahan pula, ramai anggota TNI terbunuh di Timor Timur dan Aceh.

    Ada juga kelompok tertentu di pihak Aceh dengan Hasan di Tiro sendiri berada di Sweden (diberi suaka politik), kelompok pelarian Aceh yang `tersebar' di merata-rata wilayah Indonesia lain, kelompok orang awam yang menjadi mangsa konflik yang sering mendesak ke arah perdamaian secara aman, namun kesannya terhad.

    Dr. tidak asing dengan Banda Aceh, boleh gambarkan suasana penduduk di sana sebelum musnah oleh tsunami?

    KAMARULZAMAN: Orang Aceh ada yang bekerja sebagai nelayan, petani sehinggalah pegawai dan kakitangan kerajaan. Walaupun ada kilang terkemuka seperti Exxon Mobil, namun tidak banyak syarikat multinasional di sana. Begitu juga tidak ramai orang Aceh bekerja dalam syarikat multinasional ini, kebanyakannya diambil dari luar.

    Banda Aceh ini sama dengan wilayah-wilayah Indonesia yang lain. Kalau di Malaysia, ia macam bandar Sungai Petani.

    Sewaktu saya berada di sana (kerana membuat kajian) pada 2003, saya dapati banyak anggota tentera dan polis ditempatkan di merata-rata tempat. Contohnya dalam perjalanan tiga jam dari Medan ke Pidie, kami melalui 20 check point tentera.

    Orang Aceh kuat bekerja tapi selepas pukul 7 malam, keadaan bandar sunyi sepi disebabkan faktor keselamatan. Ini kerana kebanyakan kejadian membabitkan pembunuhan dan penculikan berlaku pada waktu malam. Pernah berlaku ketika saya mengadakan pertemuan dengan NGO di Hotel Kuala Trita di Banda Aceh, ada kalangan anggota NGO terbabit meminta bermalam di hotel apabila perbincangan melewati pukul 7 malam.

    Bagaimanapun di kalangan orang Aceh mereka sudah biasa dengan masalah keselamatan ini, malahan mereka amat berhati-hati ketika bercakap dengan orang yang tidak dikenali. Ini kerana mentaliti mereka yang agak tertutup untuk membincangkan isu Aceh kerana takut dicap sebagai anggota GAM.

    Ada banyak kes orang awam yang disyaki sebagai anggota GAM ditangkap dan diseksa serta hilang begitu sahaja.

    Apa mercu tanda Banda Aceh?

    KAMARULZAMAN: Masjid Baiturrahman yang terletak kira-kira empat kilometer dari laut. Kita bersyukur kerana masjid ini terus utuh biarpun gelombang tsunami memusnahkan seluruh Aceh.

    Masjid ini mempunyai nilai sentimental kepada penduduk Aceh kerana segala aktiviti sosial dan ekonomi masyarakat bertumpu di situ. Ia ibarat tumpuan orang ramai di Menara Berkembar Petronas (KLCC) di mana orang membawa keluarga bersiar-siar di tepi tasik sambil menikmati air pancuran.

    Masjid Baiturrahman dikelilingi kedai dua tingkat yang berstruktur batu dan kayu. Macam-macam kegiatan perniagaan dilakukan di situ. Malahan beberapa meter dari situ terdapat Hotel Kuala Trita yang menjadi lokasi utama perundingan antara GAM-wakil Jakarta untuk menyelesaikan konflik Aceh.

    Ramaikah pelancong asing di Banda Aceh?

    KAMARULZAMAN: Tidak ramai disebabkan keadaan konflik yang menyebabkan aspek keselamatan menjadi ketat, kalau ada pun orang luar yang datang dari wilayah Indonesia yang lain. Mungkin suaminya bertugas di situ ataupun keluarga tentera yang sememangnya wilayah ini menyaksikan kedapatan banyak kem tentera.

    Selain orang Islam, penduduk Aceh juga terdiri daripada kaum Cina dan India. Kita biasa tengok orang Aceh mempunyai kulit yang gelap disebabkan dulu ia menjadi laluan pedagang Islam dari India. Mereka singgah dan berkahwin dengan orang tempatan.

    Dari segi kelas sosial, masyarakat Aceh terdiri daripada golongan bawahan sehinggalah atasan. Ada juga yang menjalankan perniagaan sendiri dan bekerja dengan universiti-universiti.

    Pernahkah Aceh digegarkan dengan bencana seperti ini?

    KAMARULZAMAN: Tidak pernah berlaku, malah sepanjang kajian dan maklumat yang saya peroleh daripada NGO di wilayah itu, ia tidak berlaku. Saya terkejut dengan kemusnahan yang begitu dahsyat akibat tsunami.

    Bencana tsunami ini seolah-olah `membuka' Aceh kepada pihak luar yang sebelum ini ia adalah kawasan militer?

    KAMARULZAMAN: Ya, memang selama ini terutama dalam tempoh setahun setengah kebelakangan ini, Aceh tertutup sepenuhnya dari dunia luar. Orang luar tidak boleh masuk nak buat penyiasatan (konflik yang berlaku), ia dipencilkan. Itu sebab kita dapat merasakan kesannya setelah tsunami melanda.

    Mula-mula jumlah kematian dianggarkan 20,000 kemudian naik 30,000 dan seterusnya meningkat. Ini kerana tidak terdapat sumber di sana yang boleh beritahu kita dengan tepat betapa seriusnya kesan tsunami ini.

    Kita tidak boleh anggarkan dengan tepat (jumlah korban). Tambahan pula baru-baru ini permintaan Indonesia mewajibkan orang Aceh membuat kad pengenalan merah putih. Tetapi tidak semua orang Aceh nak tukar kad pengenalan mereka kerana ramai yang tidak mahu berbuat demikian.

     usteru sungguhpun dianggarkan penduduk Aceh berjumlah empat juta orang, kita tidak tahu jumlah sebenar mereka. Kesan tsunami sedikit sebanyak memberitahu kita akan realiti sebenar.

    Jadi ia memberi peluang kepada pemerintah untuk mengkaji semula dasar mereka mengenai Aceh?

    KAMARULZAMAN: Kita sebenarnya mempunyai harapan tinggi dari kesengsaraan rakyat Aceh akibat tsunami ini yang membuka ruang kepada Jakarta untuk menilai semula pandangan mereka terhadap Aceh.

    Sekarang masa yang sesuai bagi pemerintah mengambil kisah orang Aceh tanpa mengira wilayah itu sebahagian daripada konflik. Kemudian mereka perlu membangunkan semula infrastruktur Aceh.

    Kalau Jakarta tunjukkan sikap macam itu, maka sedikit sebanyak ia akan mempengaruhi orang Aceh yang selama ini anti-Jakarta. Pengurusan selepas tsunami perlu dilakukan dengan baik dan terancang.

    Tetapi bagaimana Dr. melihat langkah awal Jakarta menangani bencana tsunami ini?

    KAMARULZAMAN: Berdasarkan laporan yang saya terima daripada NGO-NGO Aceh dan dua staf saya yang dihantar ke sana kita dapati banyak masalah dari segi pengagihan bantuan yang diterima mencurah-curah dari negara asing.

    Masalah di pejabat-pejabat daerah di Aceh yang dikelola oleh aktivis ialah proses pengangkutan bantuan makanan dan ubat-ubatan dari Medan ke Aceh serta ke kawasan pedalaman.

    Ada aktivis bantuan yang menunggu selama dua hari untuk mendapatkan lori, malah perlu pula membayar Rp5 juta rupiah untuk perjalanan sehala ke Banda Aceh sedangkan keperluan dari Aceh sekarang begitu mendesak terutama untuk makanan termasuk ikan kering, ikan bilis, telur, sardin dan beras.

    Di Pusat Koordinasi yang dikelolakan oleh pemerintah, prosedur untuk mengeluarkan barangan bantuan amat sukar sehinggakan banyak barang terperuk di gudang lapangan terbang. Di Lapangan Terbang Polonia Medan ada sekitar lebih 1,000 lori dan trak yang sedang menunggu, tetapi kerana protokol - kenderaan-kenderaan itu masih tersadai.

    Beberapa hari lepas seorang anggota NGO datang membawa tiga lori untuk memunggah barangan tersebut tetapi tidak dibenarkan, malah pegawai daerah Bireun menangis kerana tidak berhasil memujuk pegawai Pusat Koordinasi. Ada pihak pula meminta mereka yang mahu membawa keluar barangan bantuan menunjukkan kad pengenalan, tetapi dalam bencana tsunami seperti ini, kad pengenalan pasti sudah hilang dihanyutkan air.

    Ada pihak mengandaikan bencana ini melahirkan satu generasi baru yang bebas dari sentimen konflik setelah air laut melenyapkan sama sekali generasi lama - terutama anggota GAM?

    KAMARULZAMAN: Saya tidak fikir begitu. Generasi baru yang sebenarnya kita maksudkan di sini ialah berapa ramai pemimpin masyarakat daripada kalangan golongan ilmuwan, ulama dan ahli akademik yang hidup selepas tsunami.

    Ini kerana Aceh akan mengambil masa yang lama untuk menggantikan golongan ini. Contohnya mereka yang memegang kelulusan sarjana (Ph.D), yang ramai terkorban sedangkan untuk mencapai tahap itu, ia memerlukan masa bertahun-tahun.

    Ia tidak semudah membangunkan infrastruktur fizikal. Bayangkan tiada lagi guru, ahli ekonomi yang semuanya hanyut dipukul ombak. Sungguhpun begitu, satu kelebihan ialah Aceh mempunyai kumpulan orang yang aktif di luar wilayah itu yang lari dari konflik sebelum ini.

    Sekurang-kurangnya yang berada di luar ini yang terdiri daripada pakar pelbagai bidang, selamat. Dan kita akan tengok bagaimana pembangunan semula Aceh selepas tsunami dapat mengembalikan sumber-sumber manusia ini ke wilayah itu. Namun ia bergantung kepada kesungguhan Jakarta.

    Masih adakah golongan akademik di Aceh saat ini?

    KAMARULZAMAN: Nasib mereka masih belum diketahui. Tetapi kita maklum banyak institusi pengajian tinggi di Aceh musnah teruk antaranya Institut Agama Islam Negara (IAIN) di Banda Aceh, begitu juga Universiti Syiah Kuala Rainary. Jika universiti hancur, guru dan pensyarah terkorban macam mana kita hendak didik semula orang muda Aceh?

    Mungkinkah ada pihak asing terutama kuasa besar mengambil kesempatan mahu campur tangan dalam hal ehwal Indonesia melalui bencana di Aceh?

    KAMARULZAMAN: Memang kita akui Asia Tenggara saat ini masih bebas dari campur tangan kuasa besar. Begitupun kita amat berharap tiada pihak menggunakan kes di Aceh ini untuk menunjuk baik dengan menyalur bantuan.

     enarkah banyak anak yatim mangsa tsunami ini diseludup untuk kepentingan pihak tertentu?

    KAMARULZAMAN: Daripada maklumat yang saya peroleh dari NGO-NGO di Aceh, ia tidak berlaku. Saya difahamkan dakwaan ini disebarkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada seorang warga Indonesia. Realitinya anak yatim di Aceh memang ramai daripada korban perang GAM-Jakarta. Dan di sana pun memang banyak pusat anak yatim khususnya dari daerah-daerah operasi militer.

    Bolehkah Aceh membangun bersendirian tanpa Jakarta?

    KAMARULZAMAN: Saya fikir boleh. Ini disebabkan wilayah itu kaya dengan sumber minyak dan gas. Dengan populasi lebih empat juta orang, ia sudah cukup untuk menjadi sebuah negara. Lagipun akibat tsunami ini tentu banyak negara termasuk Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) ingin masuk membangunkan Aceh.

    Dengan pembangunan semula infrastruktur, membaik pulih universiti serta menyediakan peluang pekerjaan, saya fikir kehidupan akan lebih baik berbanding sebelum ini.

    Apa yang sepatutnya dilakukan oleh GAM dan Jakarta waktu ini?

    KAMARULZAMAN: Apa yang boleh kita katakan ialah sekarang bukannya masa untuk berperang tetapi untuk membangunkan semula kawasan yang telah lama dilanda peperangan, tambah lagi sekarang ini pula tsunami.

    Inilah masanya untuk membangunkan bangsa Aceh bukan sahaja dari segi infrastruktur tetapi juga pembangunan kemanusiaan. Kehidupan orang Aceh perlu dibangunkan semula. Kedua-dua pihak perlu menuju ke arah perdamaian.

    Kalau konflik berterusan, ini akan merumitkan lagi keadaan. Wujudlah usaha genjatan senjata, kemudian bebaskan perunding-perunding GAM yang masih disumbat dalam penjara, beri peluang untuk mereka mengadakan rundingan baru.

    Bagaimana dengan komitmen Presiden baru Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono tentang Aceh selepas tsunami ini?

    KAMARULZAMAN: Jika kita perhatikan, kebanyakan Presiden Indonesia suka menabur janji untuk menyelesaikan konflik di Aceh. Ini ketara ketika kempen pilihan raya (sebelum mereka menyandang jawatan). Gus Dur lebih toleransi dengan masyarakat di Aceh. Beliau lebih gemar ke arah perdamaian secara perbincangan dengan GAM. Megawati pula yang pernah turun ke Aceh ada berjanji ``tidak akan tumpah di Aceh walau setitis darah pun'' tetapi tengok apa sudah jadi.

    Susilo pula ketika awal menyandang jawatan Presiden bertekad menyelesaikan konflik Aceh dalam tempoh tiga bulan. Tetapi semua orang Aceh maklum ketika menjadi Menteri Keselamatan, beliau telah memerintahkan 50,000 lagi tentera untuk ditempatkan di Aceh. Ini rekod yang tidak baik di mata orang Aceh.

     Tetapi mungkin apabila sudah menjadi Presiden serta ekoran tsunami ini, sikapnya telah berubah... barangkali.

    Artikel Penuh:

    http://www.utusan.com.my/utusan/info.aspy=2005&dt=0116&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm#ixzz2BPWUHFEy

    © Utusan Melayu (M) Bhd

    Latest News

    Book Launching & Seminar : “Bangsamoro Quest: The Birth of the Moro Islamic Liberation Front”

    Date :January 31, 2012           Venue:Social Science Conference Room (C06)            

    SEACSN-Vietnam General Meeting

    Date :January 28      Venue :Hanoi, Vietnam

    SEACSN Regional Meeting ( National Coordinators & Convenors)

    Date : Feb 26-27   Venue : Hotel Equatorial Penang, Malaysia